KLANG: Pakej snuker GRO.
Itu tarikan istimewa sebuah premis berselindung di sebalik papan tanda
kononnya beroperasi sebagai kafe di Bandar Botanic, di sini, yang
menyediakan khidmat pelayan pelanggan (GRO) untuk hiburan pelanggan di samping bermain snuker.
Tarikan itu menyebabkan premis berkenaan menjadi tumpuan pengunjung lelaki hidung belang untuk berhibur dengan wanita GRO yang kebanyakannya warga asing.
Bagaimanapun,
taktik itu terbongkar apabila premis itu diserbu dalam Ops Noda oleh
sepasukan polis Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat
Polis Kontinjen (IPK) Selangor bermula jam 11.45 malam, kelmarin.
Ketua operasi, Inspektor Othman Mahat ketika ditemui di lokasi selepas serbuan itu berkata, 12 GRO warga asing ditahan.
“Sembilan daripada GRO yang ditahan itu warga Vietnam manakala tiga lagi warga Thailand yang berumur 25 hingga 37 tahun.
“Ops Noda ini
dilaksanakan selepas risikan dibuat selain aduan awam. Kami dapati
premis itu sudah beroperasi lebih kurang empat bulan.
“Kami sudah
membuat intipan ke atas premis ini selama empat hari untuk mengenal
pasti pekerja dan pelanggan kelab itu sebelum menyerbu premis terbabit,”
katanya.
Menurutnya, pemeriksaan terhadap GRO
itu mendapati semua mereka masuk ke Malaysia menggunakan pas lawatan
dan tidak mempunyai pasport. Turut ditahan ialah seorang lelaki
dipercayai penjaga premis itu, warga tempatan berumur 35 tahun.
“Dalam operasi itu juga, lebih 30 pelanggan berumur 22 hingga 55 tahun yang melanggan GRO dalam premis itu ditahan sementara untuk diambil keterangan.
“Semua GRO dan penjaga premis yang ditahan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Othman berkata, semua GRO itu disiasat mengikut Seksyen 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial.
“Penjaga premis
itu pula disiasat mengikut Seksyen 55 (b) Akta Imigresen 1959/63 dan
Seksyen 6 (1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Selangor) 1995
Pindaan 1998, 2001 kerana menjalankan aktiviti perniagaan hiburan tanpa
lesen daripada pihak berkuasa,” katanya.
EmoticonEmoticon