Kamis, 24 April 2014

"Nikah Koboi" Ayah Paksa Anak 10 Tahun Nikah Dengan Rakan Jemaah

Tags





kahwin paksa, nikah, jurunikah, wali,
PASIR MAS: “Baba jahat!...Baba jahat!” tangis seorang budak perempuan berusia 10 tahun kepada ibunya selepas dinikahkan secara paksa oleh bapa kandung dengan rakan jemaahnya berusia 30-an di sini.

Lebih memeranjatkan, upacara ‘nikah koboi’ itu diadakan dalam sebuah kereta dengan bapa kanak-kanak itu bertindak sebagai jurunikah dan wali sambil disaksikan seorang saksi tanpa kehadiran pengantin perempuan.

Pernikahan diragui itu diceritakan sendiri ibu kanak-kanak terbabit yang hanya ingin dikenali sebagai Na, 33, kepada Harian Metro selepas dimaklumkan anak perempuannya itu.

Katanya, dia terkejut kerana tidak menyangka suaminya tergamak menikahkan anak perempuan mereka yang masih budak dengan rakan jemaahnya tanpa memaklumkan kepada ahli keluarga pada 22 Februari lalu.

“Mulanya saya terkejut apabila anak perempuan pulang ke rumah pada pagi 23 Februari lalu dengan menangis teresak-esak sambil memarahi bapanya dengan perkataan ‘baba jahat!’.

“Dia mengulangi perkataan itu berulang kali sambil menambah ‘baba kahwinkan saya dengan kawannya’ menyebabkan saya tertanya-tanya maksud di sebalik ayat terbabit,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Beta, Pohon Buluh di sini, semalam.

Harian Metro difahamkan, proses pernikahan ringkas itu berlaku jam 5 petang apabila si bapa menikahkan sendiri anak perempuannya tanpa mengikut prosedur pernikahan biasa dan berlaku dalam suasana serba ringkas dalam kereta.

Bagaimanapun, ‘pengantin perempuan’ tidak hadir ketika upacara akad nikah itu berlangsung, sebaliknya dia hanya dibawa ke hotel selepas disahkan suami isteri.

Difahamkan, lelaki terbabit menikahkan anak perempuannya itu selepas dijanjikan ganjaran pahala oleh rakan jemaahnya selain ditaburkan janji manis kononnya ia mengikut sunnah Nabi dan pahalanya berlipat ganda.

Dia yang terpengaruh dengan ‘janji syurga’ kononnya mendapat ganjaran berlipat kali ganda kemudian bersetuju mewali dan menikahkan anaknya walaupun baru berusia 10 tahun.

Meskipun pernikahan terbabit mungkin sah mengikut syarak, namun tindakan menikahkan budak berusia 10 tahun menjadi kesalahan mengikut undang-undang syariah kerana masih di bawah umur.

Na berkata, dia segera mendapatkan penjelasan daripada anak perempuannya itu untuk mengetahui perkara sebenar, sebelum anak kedua daripada empat beradik itu menceritakan dia sudah dinikahkan.

“Tergamam saya ketika itu apabila dia beritahu dikahwinkan dengan rakan suami saya tanpa kerelaannya. Perasaan marah terhadap suami meluap-luap. Persoalannya mengapa dia sanggup mengahwinkan anak yang masih mentah.

“Ini menyebabkan saya segera bertemu rakan suami di sebuah masjid kira-kira 200 meter dari rumah untuk mendapatkan penjelasan mengenai pernikahan itu dan dia mengesahkannya,” katanya.

Katanya, berdasarkan pengetahuannya, proses pernikahan itu berlangsung di dalam sebuah kereta yang sedang bergerak dan suaminya mewalikan pasangan anaknya sambil memandu.

“Saya dapat tahu anak saya diperdaya suami kononnya mahu membawa dia membeli-belah di sebuah pasar raya di Kota Bharu bersama saya yang sedang menunggu di situ.

“Bagaimanapun, semua barang yang dibeli dibayar rakannya sebelum dia dibawa ke sebuah hotel dekat Kota Bharu. Mereka menyewa dua bilik hotel. Sebuah untuk anak dan ‘suaminya’, manakala sebuah lagi untuk suami,” katanya.

Na berkata, selepas mengetahui dia sudah dinikahkan, anaknya menggunakan helah untuk tidur dengan tukang sapu wanita hotel terbabit sebelum dibawa pulang keesokannya.

Berikutan itu, Na ke Balai Polis Pasir Mas pada 25 Februari lalu untuk melaporkan mengenai perkahwinan anaknya dengan lelaki terbabit.

Pada masa sama, ibu kanak-kanak terbabit turut membuat laporan di Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) selepas mendapat nasihat daripada ahli keluarga.

Berikutan itu, katanya, anaknya dikenakan perintah mufarakah (dipisahkan) dengan lelaki yang mengahwininya oleh Mahkamah Rendah Syariah Kota Bharu, minggu lalu.

Difahamkan, kejadian itu berlaku sebelum akhbar mendedahkan mengenai seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, namun lokasinya berbeza iaitu di sebuah madrasah berhampiran masjid besar di Machang.

Kantoi Rakam 2 Doktor Wanita Mandi, Doktor Lelaki Dihadap Ke Mahkamah

Tags





teman sekerja, berbogel, rakam video wanita bogel, doktor wanita, pesalah seks, kepuasan seksual,
Seorang doktor yang merakamkan secara rahsia imej teman sekerjanya berbogel didapati bersalah atas tiga tuduhan di mahkamah dan dibatalkan pendaftaran amalannya, lapor media semalam.

Pakar kardiologi, Vivek Baliga, berdepan tuduhan menggunakan kamera video untuk mengintip dua wanita teman sekerjanya.

Menurut pertuduhan, Baliga, 33, mempelawa seorang doktor wanita dan teman lelakinya datang ke rumah ketika itu dia menetap di Leeds. Ketika menggunakan bilik mandi di situ, wanita terbabit berasa curiga apabila melihat beberapa kotak menghadap tingkap yang ada di situ.

Selepas memeriksanya, doktor wanita itu mendapati ada peralatan perakam disembunyikan dalam kotak berkenaan.

Dia kemudian membuat aduan kepada polis dan selepas diperiksa, lebih banyak imej ditemui tersimpan dalam komputer Baliga. Antara imej yang ada, doktor wanita sama mandi di rumahnya sendiri, serta seorang lagi doktor wanita yang sedang menggunakan tandas juga di rumahnya.

Baliga yang ketika itu melanjutkan pengajian peringkat doktor falsafah dalam kajian kardiologi, dihukum menjalani khidmat komuniti selama tiga tahun.

Dia juga diarah mengambil bahagian dalam program rawatan pesalah seks. Hakim Scott Wolstenholme berkata, tingkah laku Baliga sebagai “menjijikkan dan keji.” Panel Perkhidmatan Tribunal Pengamal Perubatan berkata, mereka mendapati perbuatan Baliga tidak melayakkannya terus menjadi doktor.

“Kesalahan yang disabitkan ke atas kamu serius dan dibuat untuk kepuasan seksual sendiri. “Ia dilakukan secara terancang, berulang dan dalam tempoh lama,” katanya. Justeru, kata panel itu, ia tidak dapat diterima sebagai perbuatan seorang pengamal perubatan.

Malu Cerita Mati Pucuk Tersebar, Suami Belasah Isteri Dengan Kerusi

Tags





jaja cerita, isteri dibelasah, suami mati pucuk, mengaibkan, tanggung malu,
Akibat menjaja cerita suami sendiri mati pucuk, seorang wanita dicekik dan dibelasah dengan kerusi apabila suaminya itu mengamuk selepas mendapat tahu berita yang mengaibkan itu tersebar di kawasan perumahannya.

Kejadian pada 1.45 pagi di Apartmen Idaman, Damansara Damai itu berlaku selepas mangsa dituduh menyebarkan cerita kononnya suaminya itu mati pucuk.

Wanita warga Indonesia itu bagaimanapun bernasib baik selepas sempat menghubungi polis bagi mengelak dibelasah dengan lebih teruk.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Sal, 50, mengaku sering dipukul dengan kerusi oleh suaminya meskipun melakukan kesalahan kecil.

“Sejak mula berkahwin tiga tahun lalu, suami tidak pernah bekerja, saya sahaja yang cari duit, bila saya nasihat macam-macam dia maki saya,” katanya.

Dalam pada itu anggota polis yang hadir cuba menenangkan suaminya meskipun suasana ketika itu agak tegang dengan pelbagai ugutan diberikan termasuk mahu menceraikan isterinya.

Suami wanita itu ketika ditemui berkata, dia kecewa dengan sikap isterinya yang gemar menceritakan keburukan keluarga kepada orang luar dan jiran tetangga.

“Saya terpaksa menanggung malu dengan orang sekeliling kerana dia buat cerita saya mati pucuk sebab itu saya maki dan pukul dia,” katanya.

Buat Anak Lepas Tu Jual

Tags





rumah jagaan kanak-kanak, jual bayi, pelacuran, jual anak,
PENGARAH Urusan Rumah Jagaan Kanak-Kanak Nur Salam di Chow Kit, Kuala lumpur, Hartini Zainudin, 50, mendedahkan, masih ada kes bayi dan kanak-kanak gelandangan yang dijual serta menjadi mangsa kegiatan pelacuran di Malaysia.

Hartini yang berpengalaman luas berhubung isu pemerdagangan kanak-kanak khususnya di Chow Kit memberitahu, banyak faktor yang menyebabkan golongan itu mudah terjerat.

"Ada sebahagian kanak-kanak dijanjikan pekerjaan seperti di hotel dan spa, kemudian apabila dewasa mereka kononnya akan berkahwin dan hidup bahagia.

"Namun, ada yang lebih malang apabila mereka dijual keluarga sendiri atau diculik oleh sindiket sebelum dijual," katanya.

Kanak-kanak didefinisikan oleh undang-undang antarabangsa sebagai mereka yang berumur bawah 18 tahun.

Kata Hartini, kebanyakan remaja digunakan untuk pelacuran atau seks manakala kanak-kanak bawah 10 tahun dieksploitasi sebagai peminta sedekah.

Malang kepada bayi pula, mereka dijual dengan harga tertentu kepada pasangan yang tidak mempunyai anak.

"Bayi yang dijual berharga antara RM2,000 hingga RM10,000 manakala kanak-kanak antara RM1,000 hingga RM3,000.

"Ini kerana ibu bayi tersebut tidak mampu menyara mereka selain tekanan yang diberikan oleh ibu dan juga bapa ayam. Itu menyebabkan mereka mengambil tindakan nekad menjual sahaja bayi tersebut," katanya.

Bukan warganegara

Hartini memberitahu, kerajaan kini memandang serius isu pemerdagangan orang terutamanya bayi dan kanak-kanak dengan penguatkuasaan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

"Kebanyakan wanita yang melahirkan bayi terdiri daripada wanita yang terlibat dengan kegiatan pelacuran.

"Ada dalam kalangan mereka yang bukan warganegara seperti wanita Vietnam dan Myanmar serta tidak mempunyai dokumen diri. Ini mendorong mereka mengambil jalan mudah dengan menjualkannya sahaja bayi mereka.

"Akhirnya, apabila bayi itu dewasa kelak mereka terdedah kepada pelbagai perkara negatif termasuk melakukan jenayah akibat tidak mempunyai pelajaran serta tidak mendapat kemudahan kesihatan dan makanan yang secukupnya," ujarnya.

Tutur Hartini, sebanyak 80 peratus kanak-kanak gelandangan tidak mempunyai identiti diri apatah lagi hak kewarganegaraan.

"Ini kerana proses untuk mengenal pasti keturunan mereka mengambil masa selama bertahun-tahun di samping menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

"Warga tempatan sekali pun cukup sukar untuk mengesan ibu bapa sebenar mereka inikan pula warga asing. Tetapi lebih baik kita menjaga dan memenuhi keperluan mereka daripada membiarkan hidup mereka terus terumbang-ambing," ujarnya.

Bagi Timbalan Yang Dipertua Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Datuk Faridah Khalid, mangsa jenayah pemerdagangan manusia di negara ini sering dijanjikan dengan pelbagai harapan sebelum diperdaya.

"Mangsa jenayah ini direkrut dengan cara tipu helah, pujuk rayu, janji-janji palsu, paksaan, kekerasan, godaan, ancaman, penculikan dan pemalsuan.

"Mereka kemudian dieksploitasi dalam bentuk seks, pelacuran, buruh paksaan, perhambaan, peminta sedekah, penjualan bayi dan pemindahan organ manusia oleh seseorang atau kumpulan yang inginkan keuntungan," katanya.

Tambah Faridah, jenayah tersebut merupakan satu bentuk perhambaan zaman moden apabila manusia dijadikan barangan dagangan yang membawa keuntungan lumayan.

"Sehingga kini kira-kira 70 peratus mangsa jenayah ini merupakan wanita kerana golongan tersebut dilihat mampu memberikan keuntungan lumayan kepada sindiket terbabit selain mudah terpedaya," ujar Faridah.