PASIR MAS: “Baba jahat!...Baba jahat!” tangis seorang budak perempuan berusia 10 tahun kepada ibunya selepas dinikahkan secara paksa oleh bapa kandung dengan rakan jemaahnya berusia 30-an di sini.
Lebih memeranjatkan, upacara ‘nikah koboi’ itu diadakan dalam sebuah kereta dengan bapa kanak-kanak itu bertindak sebagai jurunikah dan wali sambil disaksikan seorang saksi tanpa kehadiran pengantin perempuan.
Pernikahan diragui
itu diceritakan sendiri ibu kanak-kanak terbabit yang hanya ingin
dikenali sebagai Na, 33, kepada Harian Metro selepas dimaklumkan anak
perempuannya itu.
Katanya, dia terkejut kerana tidak menyangka suaminya tergamak menikahkan anak perempuan mereka yang masih budak dengan rakan jemaahnya tanpa memaklumkan kepada ahli keluarga pada 22 Februari lalu.
“Mulanya saya
terkejut apabila anak perempuan pulang ke rumah pada pagi 23 Februari
lalu dengan menangis teresak-esak sambil memarahi bapanya dengan
perkataan ‘baba jahat!’.
“Dia mengulangi
perkataan itu berulang kali sambil menambah ‘baba kahwinkan saya dengan
kawannya’ menyebabkan saya tertanya-tanya maksud di sebalik ayat
terbabit,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Beta, Pohon
Buluh di sini, semalam.
Harian Metro difahamkan, proses pernikahan ringkas itu berlaku jam 5 petang apabila si bapa menikahkan sendiri anak perempuannya tanpa mengikut prosedur pernikahan biasa dan berlaku dalam suasana serba ringkas dalam kereta.
Bagaimanapun, ‘pengantin perempuan’ tidak hadir ketika upacara akad nikah itu berlangsung, sebaliknya dia hanya dibawa ke hotel selepas disahkan suami isteri.
Difahamkan, lelaki terbabit menikahkan anak perempuannya itu selepas dijanjikan ganjaran pahala oleh rakan jemaahnya selain ditaburkan janji manis kononnya ia mengikut sunnah Nabi dan pahalanya berlipat ganda.
Dia yang terpengaruh dengan ‘janji syurga’ kononnya mendapat ganjaran berlipat kali ganda kemudian bersetuju mewali dan menikahkan anaknya walaupun baru berusia 10 tahun.
Meskipun
pernikahan terbabit mungkin sah mengikut syarak, namun tindakan
menikahkan budak berusia 10 tahun menjadi kesalahan mengikut
undang-undang syariah kerana masih di bawah umur.
Na berkata, dia
segera mendapatkan penjelasan daripada anak perempuannya itu untuk
mengetahui perkara sebenar, sebelum anak kedua daripada empat beradik
itu menceritakan dia sudah dinikahkan.
“Tergamam saya ketika itu apabila dia beritahu dikahwinkan dengan rakan suami
saya tanpa kerelaannya. Perasaan marah terhadap suami meluap-luap.
Persoalannya mengapa dia sanggup mengahwinkan anak yang masih mentah.
“Ini
menyebabkan saya segera bertemu rakan suami di sebuah masjid kira-kira
200 meter dari rumah untuk mendapatkan penjelasan mengenai pernikahan
itu dan dia mengesahkannya,” katanya.
Katanya,
berdasarkan pengetahuannya, proses pernikahan itu berlangsung di dalam
sebuah kereta yang sedang bergerak dan suaminya mewalikan pasangan
anaknya sambil memandu.
“Saya dapat
tahu anak saya diperdaya suami kononnya mahu membawa dia membeli-belah
di sebuah pasar raya di Kota Bharu bersama saya yang sedang menunggu di
situ.
“Bagaimanapun,
semua barang yang dibeli dibayar rakannya sebelum dia dibawa ke sebuah
hotel dekat Kota Bharu. Mereka menyewa dua bilik hotel. Sebuah untuk
anak dan ‘suaminya’, manakala sebuah lagi untuk suami,” katanya.
Na berkata,
selepas mengetahui dia sudah dinikahkan, anaknya menggunakan helah untuk
tidur dengan tukang sapu wanita hotel terbabit sebelum dibawa pulang
keesokannya.
Berikutan itu,
Na ke Balai Polis Pasir Mas pada 25 Februari lalu untuk melaporkan
mengenai perkahwinan anaknya dengan lelaki terbabit.
Pada masa sama,
ibu kanak-kanak terbabit turut membuat laporan di Jabatan Hal-Ehwal
Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) selepas mendapat nasihat daripada ahli
keluarga.
Berikutan itu,
katanya, anaknya dikenakan perintah mufarakah (dipisahkan) dengan lelaki
yang mengahwininya oleh Mahkamah Rendah Syariah Kota Bharu, minggu
lalu.
Difahamkan,
kejadian itu berlaku sebelum akhbar mendedahkan mengenai seorang lagi
kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, namun lokasinya berbeza iaitu di
sebuah madrasah berhampiran masjid besar di Machang.
EmoticonEmoticon