AMPANG - Seorang janda dicekup khalwat dengan kekasihnya di sebuah hotel bajet di Taman Muda, di sini, awal pagi semalam.
Janda anak satu
yang bercerai dengan suaminya sejak sembilan bulan lalu memberi alasan
dia tidak ada tempat tinggal apabila datang dari Nilai, Negeri Sembilan
ke Kuala Lumpur untuk mendaftarkan diri di salah sebuah universiti di ibu kota hari ini.
Pasangan itu dicekup kerana disyaki berkhalwat di sebuah bilik hotel
pada jam 4 pagi oleh sepasukan anggota penguatkuasa Jabatan Agama Islam
Selangor (Jais) dan Pegawai Masjid Al-Azim, Pandan Indah.
Pegawai Masjid
Al-Azim Ahmad Nawi Othman berkata, selepas pihaknya mengetuk pintu
beberapa kali, seorang lelaki berpakaian lengkap terkejut melihat
kehadiran penguatkuasa sebelum membenarkan mereka masuk untuk membuat
pemeriksaan.
“Kami menemui seorang wanita yang hanya berseluar pendek keluar dari tandas, mereka mengaku pasangan kekasih selepas gagal menunjukkan bukti mempunyai hubungan mahram,” katanya.
Ahmad Nawi
berkata, lelaki berusia 27 tahun itu bekerja di sebuah syarikat
telekomunikasi itu sanggup mengambil pasangannya yang berusia 27 tahun
itu dari Nilai kemudian bawa ke hotel berkenaan.
Dalam serbuan sama di bilik berasingan, seorang penuntut universiti dicekup khalwat bersama pasangannya.
Beliau berkata, perempuan berusia 23 tahun itu memberi alasan mahu berkahwin dengan teman lelakinya.
“Perempuan itu
memberitahu keluarganya tidak merestui perhubungan mereka kerana
pasangannya yang berusia 24 tahun itu bekerja sebagai kontraktor,”
katanya.
Kesemua yang ditahan dibawa ke Balai Pandan Indah.












